Selepas setahun berada dalam pasaran tempatan, Boon Siew Honda kini memperkenalkan model supercub Honda RS150R 2017 yang ditampilkan dengan pilihan warna baru yang lebih sporty.
Honda RS150R 2017 ini ditawarkan dalam tiga warna baru; Edisi Trico, Candy Scintillate Red dan Pearl Nightfall Blue. Warna ekskulsif sedia ada, Repsol masih dikekalkan. Model ini akan berada di bilik pameran pengedar Honda mulai 8 Ogos 2017. Harga yang disyorkan bermula dari RM8,478.94 bagi warna merah dan biru, hingga RM8,796.94 (Edisi Trico dan Repsol). Harga yang dinyatakan termasuk GST, tetapi tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.
Model ini dilengkapi enjin DOHC 150cc satu silinder dengan sistem penyejukan cecair dan dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan. Ini menawarkan janaan kuasa 15.4 hp pada 9,000 rpm, manakala daya tork pula 13.5Nm pada 6,500 rpm.
Berat RS150R adalah 123 kg. Ia dilengkapi tangki minyak dengan kapasiti 4.5 liter. Ia juga menggunakan brek cakera di bahagian hadapan dan belakang. Bentuk badan agresif, wajah depan dan rekaan lampu yang tajam, rangka badan yang berlapis menjadi keunikan RS150R.
Dengan purata lebih dari 2,000 unit terjual setiap bulan, ia masih lagi menerima permintaan tinggi dari pasaran. Boon Siew Honda telah meningkatkan kapasiti pengeluaran model ini untuk memastikan semua pembeli mampu mendapatkannya secepat mungkin. Model ini juga didatangkan dengan jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana dahulu).

Sumber://https://paultan.org/2017/08/04/boon-siew-honda-perkenal-rs150r-2017/